Kamis, Maret 14, 2013

PROSPEK pengalaman

KEBANGGAAN: Ahmad dan keluarga bersama piala dan anugerah pekebun sawit cemerlang 2005.

Ahmad yang kini memiliki kebun sawit seluas 14.21 hektar termasuk tanah milik sendiri 8 hektar, memulakan usaha penanam kelapa sawit tanpa sebarang ilmu dan maklumat amalan baik pertanian.


Beliau mula menanam sawit selepas membeli anak pokok sawit di Pertubuhan Peladang Kawasan di Sabak Bernam.

Bukan sesuatu yang mudah untuk memulakan usaha penanam sawit, apatah lagi ketika itu Sabak Bernam adalah kawasan penanam kelapa dan tanaman integrasinya koko.

Ketika mula menanam sawit, beliau mendapat banyak bantahan spekulasi yang didengar daripada penduduk kampung mempersoalkan bagaimana beliau hendak menjual buah sawit.

Termasuk juga ada pihak yang membawa parang ketika beliau mula menjalankan aktiviti membangunkan tanah kerana bagi mereka ia akan menyebabkan kerosakan tanah dan akan berlaku hakisan.

“Masa mula tanam sawit saya menanamnya di bawah pokok kelapa dan pada peringkat awal hasilnya lambat serta hasilnya tidak begitu tinggi,” katanya mengimbas kenangan awal membabitkan diri dalam pertanian itu.

Katanya, beliau menanam sawit selepas melihat kejatuhan harga koko dan berdasarkan pemerhatiannya masyarakat di Malaysia kurang gemar dengan minuman berasaskan koko dan lebih suka teh dan kopi.

“Pada peringkat awal, MPOB (PORIM ketika itu) tidak mempunyai unit pengembangan yang dapat memberi tunjuk ajar dalam penanam sawit.

“Saya bernasib baik kerana atas budi bicara dua orang pegawai, iaitu Mazli Eswa dan Hasnol Othman sudi membantu dan lebih membanggakan mereka sudi masuk ke ladang untuk memberi nasihat pada awal 1990-an. Hubungan baik dengan mereka diterus sehingga sekarang.

“Apa saja teknologi terbaru atau perkembangan terkini sawit mereka akan maklumkan kepada saya,” kata bapa kepada empat orang anak itu.

Menjelaskan bagaimana kebunnya terpilih untuk dijadikan Petak Demonstrasi MPOB, Ahmad berkata, pada peringkat awal Petak Demonstrasi dibuat pekebun lain, tetapi peserta yang dipilih itu tidak mengikut arahan pegawai MPOB dan projeknya tidak menyerlah.

Melihat kepada kegagalan projek itu, beliau menawarkan diri untuk diberi peluang menjadikan kebunnya sebagai Petak Demo. Ketika ini, saya diberi tunjuk ajar satu persatu mengenai amalan baik yang perlu dilakukan oleh pegawai MPOB.

Apa yang utama dalam penanaman sawit ini ialah pemilihan anak benih bermutu, penyediaan kebun dengan jarak tanaman yang sesuai, pembajaan, penjagaan seperti merumpai, pemotongan pelepah dan penuaian buah masak adalah sangat penting.

Menceritakan kejayaannya dalam mengusahakan ladang sawit, Ahmad berkata, selain usaha, beliau bertuah kerana tanah jenis Beria dan Liat Pantai di Sabak Bernam adalah jenis tanah yang subur.

Di samping itu kejayaan tidak terhasil tanpa usaha, disiplin serta sikapnya yang suka belajar. Beliau bernasib baik kerana berkesempatan dan mengambil peluang menghadiri setiap kursus, seminar berkaitan sawit anjuran sama ada MPOB, Jabatan Pertanian dan Universiti.

“Saya juga melakukan rekod ladang membabitkan kos dan hasil. Ini kerana tanpa rekod seseorang pekebun kecil itu tidak tahu prestasi ladang dan dengan rekod itu juga mereka dapat melihat keuntungan sebenar.

“Sebagai perunding persendirian, saya mendapati kebanyakan pekebun kecil tidak melakukan rekod hasil dan kos. Perkara ini sekali gus menyebabkan berlaku kerumitan dalam menilai prestasi ladang,” katanya.

Di samping itu, peningkatan harga baja menyebabkan ada dikalangan pekebun kecil tidak meletakkan baja pada pokok dan ia menyebabkan hasil yang tuai berkurangan.

Sedangkan konsep itu tidak benar kerana walaupun harga baja meningkat tetapi dengan buku rekod mereka mampu mencatat keuntungan selesa.

Selain itu pemilihan benih perlu berkualiti dan untuk mendapat benih berkualiti ia boleh diperoleh menerusi khidmat nasihat MPOB yang akan mencadangkan benih yang bersesuaian dengan tapak semaian serta cara penanam.

Masa pembajaan serta kadar dan jenis baja bersesuaian dengan tanah dan memahami kandungan baja itu sendiri perlu diketahui oleh pekebun kecil kerana ia dapat menentukan hasil sawit.

Pekebun kecil juga perlu melakukan kerja pembangunan kebun secara terancang dari segi perairan, perparitan dan sebagainya mengikut bentuk muka bumi ladang.

Analisis hasil perlu dilakukan kerana di situ pekebun akan dapat melihat berapa kos dan keuntungan sebenar. Analisis hasil juga dapat menjadi pendorong kepada pekebun untuk berusaha lebih gigih bagi meningkatkan lagi hasil.

Bergelar petani moden kerana berani menggunakan teknologi dan inovasi terkini yang diperkenalkan oleh MPOB dan agensi lain seperti PeladangTech Sdn Bhd, Ahmad menjadi contoh pekebun yang baik dengan kebun sawit yang bersih, tersusun dan terjaga rapi.

Malah sesiapa saja yang ke Tebuk Berihun akan melihat perbezaan ladang milik Ahmad dengan pekebun lain.

Jika pada awal pembabitannya pada sekitar tahun 1980an, Ahmad terpaksa menunggu sehingga empat tahun untuk menuai hasil, kini dia sekadar mengambil masa singkat iaitu hanya dua tahun untuk mendapatkan hasil.

Ladangnya mampu menghasilkan sehingga 41.6 tan sehektar setahun dan mengeluarkan 27 tandan buah. Malah ladangnya juga pernah merekod catatan hasil sebanyak 48 tan sehektar setahun pada 2006 sedangkan purata hasil sawit adakah sekitar 19 hektar setahun.

Hasil ladang yang meningkat kali ganda itu menjadikan hidup Ahmad selesa dengan pendapatan lumayan.

“Sasaran saya adalah untuk menghasilkan 50 tan sehektar setahun dan sekiranya lebih ia adalah satu bonus,” katanya yang juga Kelab 30 Tan.

Kelab 30 Tan ditubuhkan pada 1993 itu ialah hasil inovasi MPOB bagi menggalakkan pekebun kecil mencapai kecemerlangan, berilmu dan dinamik melalui menerima pakai pakej pemindahan teknologi dan inovasi baru.

Pekebun kecil yang menyertai kelab itu akan berpeluang mendapat tunjuk ajar dan nasihat Pegawai MPOB dari Pusat Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) dalam hal pengurusan dan penyelenggaraan kebun sawit melalui penggunaan inovasi dan teknologi terkini.

“Sebagai seorang pekebun kecil, seseorang itu perlu memikirkan bagaimana untuk meningkatkan hasil dan bukan memberi tumpuan membesarkan ladang.

“Tidak ada gunanya ladang besar tetapi hasil kurang,” katanya mengakhiri perbualan.


==========================================
Suka Duka Pekebun Kecil Kelapa Sawit Pulau Sebatik

Oleh Nashir Mansor

TAWAU, 29 Julai (Bernama) -- Tujuh belas tahun lalu, Affandi S. Mohd, 39, tekad membuka tanah milik keluarganya seluas 18 hektar di Kg Sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik, dengan tanaman pokok kelapa sawit.

Meskipun keraguan petani lain ketika itu mengenai potensi tanaman komersil di pulau yang serba serbi mundur dari segi infrastruktur asas amat menebal namun semangat pemuda berdarah campuran Cina dan Arab, yang berumur 22 tahun ketika itu, tidak sedikitpun goyah untuk meneruskan hasratnya menjadi petani jaya.

Bermodalkan RM15,000 yang dikumpul bertahun-tahun hasil pekerjaannya sebagai pemborong koko sebaik menamatkan persekolahan di tingkatan lima, Affandi mengerah tulang empat keratnya bagi menjayakan cita-citanya itu.

Kini segala penat jerihnya menanam dan menjaga pokok kelapa sawitnya sudah berbaloi apabila dia mampu meraih hasil jualan buah kelapa sawit sehingga mencecah kira-kira RM105,000 sebulan.

Bukan itu sahaja, Affandi berjaya menambahkan keluasan tanaman pokok kelapa sawitnya kepada 46.5 hektar dengan 28 hektar daripadanya sudah mengeluarkan hasil sehingga 150 tan sebulan.

MENJANA EKONOMI

Penat jerih serta kejayaan Affandi sedikit demi sedikit mengubah persepsi penduduk Pulau Sebatik terhadap potensi pokok kelapa sawit dibangunkan di pulau itu dan mula mengikuti langkah Affandi, bapa kepada empat orang anak.

Malah syarikat-syarikat perladangan juga telah membuka ladang kelapa sawit mereka di pulau berkenaan dan sektor ini dijangka mampu menjana ekonomi penduduk Pulau Sebatik seterusnya mengubah imej pulau berkenaan.

Kini Pulau Sebatik mampu mengeluarkan kira-kira 6,000 tan metrik buah kelapa sawit sebulan tidak termasuk 500 tan metrik keluaran pekebun kecil di pulau berkenaan.

Bagaimanapun, kejayaan yang dikecapi pekebun kecil seperti Affandi tidak datang bergolek kerana mereka terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dari mula proses menanam, penjagaan, sehingga pokok kelapa sawitnya berbuah.

"Selepas menamatkan pengajian hingga peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)di SMK Tawau pada tahun 1985, saya mula menjadi pemborong buah koko dan pada masa yang sama membantu mengusahakan kebun koko ayah saya.

BUKAN MUDAH MENANAM

"Hasil daripada pengalaman berkenaan dan atas dorongan rakan-rakan serta bantuan yang diterima daripada Jabatan Pertanian, saya menguatkan tekad dan terus membuka kebun kelapa sawit.

"Malah saya merupakan antara petani terawal di Pulau Sebatik membuka kebun kelapa sawit," kata Affandi menceritakan pengalaman awalnya menceburi bidang penanaman kelapa sawit di pulau daif itu kepada Bernama yang ketika itu sibuk memantau pekerjanya memunggah buah kelapa sawit dari dalam jongkong di jeti pendaratan hasil pertanian Pulau Sebatik yang dikenali masyarakat di sini sebagai "Batu" di Tawau.

Menurut Affandi bukan mudah bagi pekebun kecil di pulau berkenaan untuk menanam dan mengusahakan kebun kelapa sawit kerana Pulau Sebatik ketika itu masih serba kekurangan dari segi infrastruktur.

Pada ketika itu, katanya, petani bergantung penuh kepada air hujan dan telaga untuk mendapatkan sumber air dan jika dalam tempoh seminggu tidak hujan ada antara petani terpaksa mendapatkan bekalan air dari Tawau.

"Pekerja saya pun ada yang meninggalkan pulau berkenaan kerana tidak tahan mandi dengan air telaga setiap hari," kata Affandi.

JALAN RAYA DAN GENERATOR

Sumber bekalan elektrik pula adalah daripada generator manakala sistem jalan rayanya tidak seperti hari ini amat daif sehingga basikal pun sukar melaluinya.

Seorang lagi pekebun kecil, Karim Abdullah, 54, berkata pekebun kecil di pulau itu terpaksa membeli benih kelapa sawit serta kemudahan lain seperti baja, racun serta peralatan kebun dari Tawau.

Menurut Karim, selain kos membeli benih, racun dan baja, petani juga terpaksa mengeluarkan kos tambahan bagi membiayai kos membawa keperluan berkenaan menggunakan bot yang mengambil masa kira-kira 30 minit dari Tawau ke Pulau Sebatik.

Kini, selepas banyak kebun kelapa sawit mengeluarkan hasil, cabaran lain pula timbul iaitu kelapa sawit terpaksa diangkut menyeberangi Selat Cowie ke kilang-kilang di Tawau untuk diproses memandangkan kemudahan seperti itu belum ada di pulau berkenaan.

Akibatnya ada antara buah kelapa sawit yang dikutip hanya tiba di kilang pemprosesan di Tawau dalam tempoh antara tiga hingga empat hari selepas dituai disebabkan masalah pengangkutan.

JONGKONG

"Kami terpaksa membawa keluaran kelapa sawit kami ke Tawau menggunakan jongkong yang berkapasiti maksimum antara lima hingga enam tan metrik untuk diproses kerana di Pulau Sebatik sendiri belum mempunyai kilang," katanya.

Affandi berkata, bagi memunggah buah kelapa sawit keluar dari jongkong untuk dimuatkan ke dalam lori sebelum dibawa ke kilang biasanya memerlukan masa antara dua hingga tiga jam kerana semuanya terpaksa dilakukan menggunakan tenaga manusia manakala upah buruh memunggah buah kelapa sawit ialah RM25 satu tan manakala sewa lori pula ialah RM30 satu tan.

"Keadaan ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan kualiti buah kerana selepas dua hari buah kelapa sawit dipetik dan tidak diproses ia tidak lagi dianggap sebagai buah segar," katanya.

Karim pula berkata ramai pekebun kecil di pulau berkenaan terpaksa menjual buah kelapa sawit mereka kepada pemborong biasanya pada harga RM400 satu tan meskipun harga pasarannya ialah RM700 satu tan dan berharap sebuah kilang memproses dibina di pulau itu.

"Saya memang amat bersetuju dengan jika sebuah kilang memproses kelapa sawit didirikan di Pulau Sebatik supaya ia boleh diproses di pulau itu sendiri tanpa perlu diangkut ke Tawau.

PEROLEHAN LUMAYAN

"Melalui cara ini, pendapatan pekebun kecil boleh ditingkatkan," kata Karim yang kini mengusahakan 15 hektar kebun kelapa sawit di pulau itu dengan lima hektar daripadanya sudah mengeluarkan hasil.

Menurutnya, walaupun sudah ada ura-ura sebuah syarikat untuk membina kilang memproses buah kelapa sawit di Pulau Sebatik namun perkara itu belum jelas bila akan menjadi kenyataan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebatik, Abd Muis Picho berkata beliau menyedari kesukaran yang dihadapi bukan sahaja oleh pekebun kecil malah pihak ladang di Pulau Sebatik terutama dalam konteks pemprosesan.

Katanya, memang ada sebuah syarikat berminat mendirikan kilang memproses buah kelapa sawit di pulau itu dan menganggap langkah itu amat wajar serta sedia memberi apa juga bentuk bantuan yang diperlukan bagi memastikan cadangan berkenaan dapat direalisasikan.

"Saya dimaklumkan kilang yang dicadang dibina oleh sebuah syarikat swasta itu ada masalah berhubung dengan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Bagaimanapun, saya sedia membantu pihak syarikat berkenaan setakat yang termampu jika diperlukan," katanya.

Bagi Affandi dan Karim, walaupun pelbagai kesukaran terpaksa dihadapi namun mereka menyifatkan kesukaran itu berbaloi dengan perolehan yang lumayan.

Malah bagi Affandi, hasil kelapa sawit telah membuka peluang perniagaannya kepada sektor lain. Kini, selain menjadi pekebun kelapa sawit dia juga merupakan pengedar tunggal untuk 150 tong gas memasak petronas serta barang-barangan kawalan seperti gula, beras dan tepung kepada penduduk kampung di pulau berkenaan.

Bagi Karim pula, pelaburannya dalam sektor penanaman kelapa sawit merupakan sebahagian daripada perancangan masa depannya selepas beliau bersara sebagai kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kelak.

-- BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar